announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Remaja terjun tingkat 11, dipercayai merajuk ibu tidak pulang sambut upacara akil baligh

Remaja terjun tingkat 11, dipercayai merajuk ibu tidak pulang sambut upacara akil baligh
Pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.57 petang Khamis yang memaklumkan seorang remaja perempuan terjatuh dari bangunan berkenaan. - Foto ihsan pembaca
SEBERANG PERAI: Seorang remaja perempuan maut selepas dipercayai terjun dari tingkat 11 Pangsapuri Perai Indah, Perai, pada Khamis selepas dikatakan terlalu sedih apabila ibunya tidak pulang dari Singapura bagi meraikan upacara akil baligh sempena memasuki usia 15 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.57 petang Khamis yang memaklumkan seorang remaja perempuan terjatuh dari bangunan berkenaan.

Shafee berkata, remaja yang juga  anak sulung daripada dua adik beradik itu masih bersekolah di Tingkatan Tiga dan tinggal bersama ibu saudaranya.

Ibu remaja berkenaan kini bekerja di Singapura manakala bapanya bekerja di sebuah hotel di negeri ini.

"Remaja berkenaan seorang yang sensitif dan dia terlalu sedih apabila upacara akil baligh yang sepatutnya diadakan terpaksa dibatalkan berikutan ibunya yang berada di Singapura tidak dapat pulang ke majlis berkenaan," kata Shafee dalam kenyataan hari ini.

"Semasa kejadian adik perempuan remaja itu ternampak kakaknya bertindak terjun dari tingkat 11 dan terus memaklumkan kepada ibu saudaranya," katanya lagi.

Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.



Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.



Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma bermula 1 Ogos 2019. 



Tag: Singapura, Seberang Perai, mayat, remaja, Hospital, bunuh diri, upacara akil baligh, Befrienders, Pangsapuri Perai Indah



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.