Dua kakitangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) cedera selepas van syarikat itu melanggar dinding bangunan dalam kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) semalam.

MAB dalam satu kenyataan berkata pemandu dan penumpang van itu ialah kakitangan Malaysia Airlines dan mereka telah dimasukkan ke Hospital Putrajaya selepas kemalangan itu pada 4.25 petang.

"Mereka kini beransur sembuh," kata kenyataan itu.

MAB berkata siasatan awal mendapati bahawa pemandu van itu berada dalam keadaan tidak berupaya sejurus sebelum insiden itu.

"Keselamatan adalah keutamaan nombor satu di Malaysia Airlines dan siasatan penuh dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang dijalankan.

Pemandu dipercayai kena sawan sebelum van tersebut merempuh bangunan itu.

Menurut sumber-sumber lapangan terbang, Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS), telah mengisytiharkan kawasan yang terjejas selamat daripada bahaya.

Sumber-sumber lapangan terbang juga berkata kemudahan lain di lapangan terbang tidak terjejas kecuali dinding ringan bangunan itu yang rosak akibat rempuhan van tersebut.

-- BERNAMA