Seorang penjawat awam didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar, pada Khamis, kerana memalsukan dokumen kebenaran merentas negeri untuk membolehkannya tinggal lebih masa di kampung untuk menyambut Aidilfitri.

Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor menjatuhkan hukuman berkenaan selepas Mohd Norhisham Ismail, 41, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia yang berkerja sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat sepatutnya pulang ke Putrajaya pada 17 Mei lalu namun menukar tarikh pada surat kebenaran kepada tarikh 26 Mei.

Berikutan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 177 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syifa Hamzah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BACA: PKPB: Padah palsu surat kebenaran rentas negeri sambut Aidilfitri di kampung

Media sebelum ini melaporkan tertuduh bersama isteri dan dua anaknya pulang ke negeri ini dengan alasan untuk menghantar ubat kepada bapanya di Pendang.

Dia kemudian pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk memohon surat kebenaran dari Pendang ke Putrajaya, bagaimanapun pihak polis meminta lelaki itu mengemukakan surat kebenaran dari Putrajaya dan mengesyaki sesuatu mencurigakan pada surat berkenaan.

Berikutan itu, lelaki terbabit dan keluarganya tidak dibenarkan pulang ke Putrajaya sehingga siasatan kes selesai.