Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Rentas negeri untuk urusan nikah dibenarkan - Ismail Sabri

Rentas negeri untuk urusan nikah dibenarkan - Ismail Sabri
Pasangan dan keluarga yang ingin merentas negeri untuk urusan pernikahan perlu mendapatkan kebenaran PDRM. Gambar hiasan
PUTRAJAYA : Kerajaan memberi kelonggaran aktiviti rentas negeri bagi urusan pernikahan, namun perlu mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, individu terbabit perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk memastikan urusan pernikahan tidak dihadiri lebih 20 orang.
"Rupa-rupanya ramai yang nak bernikah sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan PKPB (PKP Bersyarat) dilaksanakan. Ada antara mereka terpaksa rentas negeri sebab pasangan berada di negeri lain. Jadi ramai yang mohon nak rentas negeri sebab nak bernikah.

"Mesyuarat faham dan setuju membenarkan rentas negeri bagi urusan akad nikah dengan syarat sama iaitu perlu dapat kelulusan PDRM dan mematuhi SOP yang sama seperti aktiviti lain termasuk tidak boleh lebih 20 orang dalam majlis, mengamalkan penjarakan sosial, tidak bersalam," katanya dalam sidang media harian di sini pada Selasa.
Sementara itu, kebenaran turut diberikan kepada jurufoto untuk mengambil gambar praperkahwinan di tempat-tempat terbuka berdasarkan SOP yang ditetapkan.

"Dua, tiga hari lepas, ada soalan media mengenai jurufoto perkahwinan... mengenai penggambaran praperkahwinan. Jadi, oleh sebab ia tak melibatkan ramai orang, maka kita setuju agar jurufoto mengambil gambar praperkahwinan di tempat terbuka seperti tepi tasik dan sebagainya.

"Namun, SOP tetap sama termasuk tidak boleh ramai orang, jaga penjarakan sosial, pakai hand sanitizer (pensanitasi tangan) dan lain-lain," ujar beliau lagi.