Sehari selepas hanya bertuala ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini, sebagai tanda protes kepada kerajaan negeri berikutan ketiadaan bekalan air di negeri itu, Datuk Seri Jamal Md Yunos 'dihukum' apabila resort miliknya di Sekinchan disita pihak Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) pagi tadi.

Jamal yang juga Pengerusi Gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu berkata tindakan penyitaan itu jelas bermotifkan politik dan mendakwa kerajaan negeri menggunakan kuasa sewenang-wenangnya dengan mengarahkan MDSB bertindak sedemikian.

"Saya dah patuhi semua syarat untuk tukar tanah pertanian kepada tanah pelancongan dan dah bayar semua denda serta semua bayaran berkaitan. Sudah lima tahun saya menjalankan perniagaan ini...jelas tindakan kerajaan negeri bertujuan politik semata-mata.

"Kenapa tidak robohkan rumah-rumah dan pusat judi yang dibina atas tanah rizab Melayu di Sekinchan dan Sungai Besar? Mereka yang patut dikenakan tindakan bukan saya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Jamal berkata beliau juga dimaklumkan bahawa MDSB telah diarahkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya mengambil tindakan segera dengan menyita resort miliknya.

Katanya tindakan penyitaan itu menyebabkan pihaknya terpaksa membatalkan segala tempahan penginapan di resort yang sudah beroperasi sejak lima tahun lepas dan mempunyai kira-kira 30 pekerja yang majoritinya penduduk kampung berhampiran.

Ketua UMNO Bahagian itu juga kesal apabila empat jam selepas notis penyitaan ditampal, struktur bangunan di bahagian belakang resortnya yang mempunyai 100 unit bilik penginapan mula dirobohkan.

Bagaimanapun, katanya, tindakan itu berjaya dihalang oleh peguamnya.

"Saya reda dengan tindakan sita ini tetapi saya akan failkan saman bagi menghalang mereka teruskan tindakan ini. Tindakan menyita resort saya ini juga tidak akan lemahkan semangat saya untuk terus bangkitkan isu rakyat," katanya.

Semalam, Jamal bertindak memakai tuala sambil membawa membawa gayung, sabun dan berus gigi ke bangunan SUK di sini, sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri berikutan ketiadaan bekalan air di Selangor.

Katanya, beliau ingin 'menumpang mandi' di pejabat Menteri Besar dan terpaksa berbuat demikian kerana kediamannya terputus bekalan air sejak tiga hari lalu.

Sementara itu, Yang Dipertua MDSB Azlinda Azman berkata notis perintah penyitaan itu dikeluarkan berikutan Jamal telah menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen yang sah daripada Pihak Berkuasa Melesen mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 38 UUK Hotel (Majlis Daerah Sabak Bernam) 2013.

Beliau berkata Jamal gagal mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan dalam permohonannya untuk memiliki Sijil Layak Menduduki (CCC) dan sehingga kini masih gagal memberi penjelasan sewajarnya walaupun telah diberikan tempoh.

"Beliau perlu memiliki CCC untuk beroperasi dan selagi tiada CCC resortnya tidak boleh beroperasi. Beliau ada mohon tetapi permohonannya tidak lengkap...kita sudah beri masa enam bulan malah kita lanjutkan masa tetapi beliau masih gagal memberi penjelasan.

"Justeru, mesyuarat pada 19 Dis lepas kita putuskan untuk ambil tindakan (penyitaan)," katanya sambil menegaskan tindakan penyitaan itu tiada kaitan dengan tindakan Jamal melakukan protes di bangunan SUK semalam.

Mengenai tindakan perobohan struktur bangunan di resort berkenaan, Azlinda berkata ia tidak dilakukan oleh pihak MDSB sebaliknya dilakukan oleh pihak Jabatan Tanah daerah. -- Bernama