Kewujudan Restoran Tiga Bangsa di kawasan perindustrian Indera Mahkota di sini, adalah 'bukti' kejayaan semangat kesatuan dan kesepakatan.

Siapa sangka, restoran itu lahir daripada keresahan ahli perniagaan Ricky Choo Boon Pin, 53, terhadap masa depan pekerjanya apabila perniagaan memborong beras yang diusahakan sejak 20 tahun lalu perlu ditamatkan.

Choo berkata beliau tidak mahu 10 pekerjanya - semuanya sudah berkeluarga - 'tercari-cari' kerja baharu kerana sedar bukan mudah untuk mendapat kerja, khususnya kepada mereka yang sudah agak berusia.

"Saya kumpulkan semua pekerja selepas tamat bekerja untuk menyampaikan berita perniagaan mahu ditutup... secara spontan saya bertanya jika mereka sanggup mencuba idea baharu membuka gerai makan.

"Saya tanya sudikah mereka membawa isteri datang memasak di sini, jika kita tukarkan gudang beras ini kepada restoran. Saya tidak menyangka mereka bersetuju walaupun kami kosong dalam perniagaan makanan," katanya kepada Bernama di sini.

Choo berkata mereka sepakat memilih nama 'Tiga Bangsa' bagi melambangkan kesatuan mereka yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India untuk sama-sama berusaha membangunkan restoran itu, yang kini sudah berusia 13 tahun.

Restoran itu kini mempunyai 10 gerai kecil yang setiap satu menyediakan hidangan tersendiri seperti nasi kukus, nasi berlauk, nasi gulai kambing, mi kari, masakan panas, lempeng dan kuih tradisional manakala Choo mengusahakan gerai minuman.

Choo mengakui sukar untuk percaya restoran yang lahir secara 'spontan' itu dapat mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan sehingga mereka semua tidak cukup tangan melayan pelanggan pada waktu puncak iaitu 7 hingga 11 pagi dan bermula 12 tengah hari hingga 2 petang.

"Kesusahan kami di awal penubuhan restoran adalah pengikat hubungan kami. Kami adalah satu keluarga besar. Kepercayaan yang wujud adalah harta paling berharga dan kami sedaya upaya menjaganya dengan baik," katanya.

Sementara itu, Syed Mukhriz Syed Nasir, 23, yang kini mengambil alih perniagaan bapanya Syed Nasir Syed Zin, 51, menjual nasi gulai kawah mengakui masih mengingati saat ayahnya menyampaikan berita gudang beras itu akan ditutup.

Beliau yang menetap di Taman Cenderawasih di sini menambah, ayahnya semasa itu menenangkan mereka sekeluarga supaya tidak risau dengan percaturan baharu majikannya.

"Ayah kata jangan takut. Jangan takut untuk berniaga kerana boss (Choo) akan jaga kita... daripada kosong tanpa pengalaman, kami sekeluarga kini sudah mahir selok-belok bagaimana mahu mengira untung rugi.

"Saya banyak membesar di sini. Seronok kerana semuanya sama rata dan saling hormat-menghormati. Pada sambutan Tahun Baru Cina, kami bercuti seminggu dan akan beramai-ramai ke rumah uncle dan begitu juga pada hari raya," katanya.

Bagi anak jati Kuala Krai, Kelantan Nor Aishah Ali, 48, yang mengusahakan perniagaan nasi kukus berkata hubungan baik itu bukan hanya untuk peniaga di restoran, namun 'berjangkit' sehingga ke pelanggan yang seperti nama restoran, terdiri daripada pelbagai bangsa.

Katanya, majoriti pelanggan adalah pelanggan tegar yang terdiri daripada pekerja sekitar kawasan industri dan pejabat kerajaan serta kawasan perumahan di situ, dengan semuanya 'ringan mulut' untuk bertegur sapa menyebabkan hubungan mereka akrab.

"Saya seronok berniaga di sini kerana seperti keluarga. Taukeh (Choo) rajin bertanya dan jika tahu kami berdepan masalah, beliau tidak pernah mengatakan tidak untuk membantu. Itu yang buat kami hormat kepadanya," katanya. - BERNAMA