Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

RGL, PCA dijangka mampu kurangkan kesulitan rakyat Malaysia bekerja di Singapura

RGL, PCA dijangka mampu kurangkan kesulitan rakyat Malaysia bekerja di Singapura
Setakat ini, tiada data rasmi mengenai jumlah rakyat Malaysia, yang sebelum ini berulang-alik setiap hari, tinggal di republik itu. - Gambar fail
SINGAPURA: Perkembangan terkini berkaitan pergerakan rentas sempadan dijangka mampu mengurangkan kesulitan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Kedua-dua kerajaan pada Selasa telah bersetuju melaksanakan dua skim perjalanan iaitu Laluan Hijau Dua Hala (RGL) dan Aturan Perjalanan Berkala (PCA), yang akan berkuat kuasa pada 10 Ogos 2020.
RGL akan membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi yang penting antara kedua-dua negara manakala PCA akan membolehkan penduduk, yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan kerja di salah satu negara, memasuki negara itu.

"Saya gembira kerana terdapat kemajuan yang memberikan harapan untuk kami pulang ke tanah air. Ia adalah satu permulaan," kata Presiden MASIS Aarathi Arumugam kepada Bernama.
BACA: Laluan hijau: Malaysia-Singapura benarkan rentas sempadan bersyarat 

MASIS, atau Persatuan Malaysia di Singapura, telah dilancarkan pada Oktober 2014 bagi menghimpunkan komuniti rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja dan belajar di Singapura.

Ahli MASIS kini berganding bahu secara aktif dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia dalam mendekati rakyat Malaysia yang terjejas akibat sekatan sempadan yang dilaksanakan kedua-dua negara.

Langkah itu dilaksanakan dalam usaha mengekang penularan silang pandemik COVID-19 antara kedua-dua negara.

BACA: Dewan Perdagangan Digital Malaysia alu-alukan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura

Aarathi memuji usaha kedua-dua kerajaan yang bekerjasama kerana "rakyat kedua-dua negara terjejas."

Beliau berkata pelaksanaan RGL dan PCA sesuai untuk rakyat Malaysia yang mempunyai "tempat tinggal yang teratur" di republik itu dan bagi "tempoh tinggal yang lebih lama."

BACA: Buka sempadan Malaysia-Singapura: Rakyat jangan alpa! 

Untuk lebih selamat, Aarathi berkata sesetengah rakyat Malaysia yang terjejas terutama mereka yang berulang-alik setiap hari, dinasihatkan untuk mencari rumah sewa bagi tempoh enam bulan atau setahun apabila sekatan sempadan dikenakan.

"Ada yang mengalah dan mengambil keputusan untuk meninggalkan Singapura buat selama-lamanya. Ada yang masih bertahan. Kumpulan ini terdiri daripada mereka yang berpendapatan antara S$1,000 dan S$1,600 sebulan manakala yang bernasib baik mungkin memperoleh sehingga S$2,000," katanya.

Setakat ini, tiada data rasmi mengenai jumlah rakyat Malaysia, yang sebelum ini berulang-alik setiap hari, tinggal di republik itu.

Rundingan masih berlangsung antara kedua-dua negara bagi perjalanan ulang-alik rentas sempadan dan pembukaan semula sempadan.

-- BERNAMA