Ribuan jemaah menghadiri solat jenazah ghaib di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, yang diadakan untuk Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia pada pagi Jumaat.

Suasana sedih menyelubungi dewan solat ketika ia bermula sekitar jam 9.25 pagi dan diimamkan oleh cucu Allahyarham sendiri, Hakeem Hamdi, 17.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menghadiri solat ini turut memberi tazkirah ringkas setelah ia selesai pada jam 9.35 pagi.

Selain daripada pimpinan PAS, turut hadir ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin.


"Pemergian Allahyarham bukan sahaja satu kehilangan buat parti itu sendiri tetapi juga masyarakat Islam di Malaysia dan di dunia," kata Muhyiddin.

Selain beliau, EXCO Kerajaan Selangor Zaidy Abdul Talib yang mewakili kerajaan negeri dan PAS Selangor turut menasihati generasi muda untuk mencontohi keperibadian dan dedikasi Allahyarham.

"Saya berharap kita dapat mencontohi bagaimana Tuan Guru (Allahyarham Dr Haron) mahir dalam bidang yang diceburinya," kata Zaidy ketika ditemui di luar dewan solat.

Selain mereka, turut hadir adalah Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Jamal Yunos.