Selain mengeratkan hubungan silaturrahim, orang ramai yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menzahirkan rasa teruja untuk berjumpa dengan pemimpin nombor satu negara itu di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Rata-rata orang ramai daripada pelbagai bangsa dan agama termasuk rakyat tempatan dan luar negara sanggup beratur seawal jam 8 pagi untuk bertentang mata dengan Dr Mahathir.

Seorang pengunjung, Fee Chin, 39 tahun, berkata, beliau bersama keluarga menanti saat-saat berharga ini untuk bersalaman dengan Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri.

“Saya dari Selangor, jadi (tahun) ini tak balik (kampung) dan tak pergi mana. Jadi, singgah rumah terbuka di sini.

“Pertama kali datang (perasaan) teruja. Awal-awal lagi saya sudah buat persiapan. Semua okay (perjalanan majlis). Makan tak sangat tetapi nak salam dengan Dr Mahathir,” katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.

Sementara, Subardi Sabar, 50 tahun, berkata penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri disifatkan sebagai acara yang bermanfaat.

“Baguslah rakyat Malaysia pelbagai bangsa Melayu, India dan Cina datang.

“Keterujaan amat bagus semua bangsa ada untuk merayakan Aidilfitri yang mulia, cuaca pun bagus dan tempat parkir pun terurus,” ujarnya.

Manakala, Eshwari, 16 tahun, berkata, keenakan pelbagai juadah tradisional yang dihidang pada Syawal sentiasa dinanti-nanti olehnya.

Ini adalah kali kedua Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran kerajaan Pakatan Harapan selepas Dr Mahathir mengambil alih tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mei tahun lepas.

Dianggarkan 50,000 dijangka hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Perdana Menteri.