Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

'Ribut Sitokin' memburukkan COVID-19

'Ribut Sitokin' memburukkan COVID-19
Dr Adeeba berkata, PPUM yang mula menjalankan ujian rawatan menggunakan ubat tocizulimab untuk pesakit ribut sitokin kini menampakkan kesan yang memberangsangkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sistem imun tubuh manusia secara umum akan menjalankan tugasnya, iaitu bertindak balas jika mengenal pasti sebarang jangkitan di dalam badan.

Berdasarkan laporan situasi semasa, 80 peratus daripada pesakit yang dijangkiti COVID-19 boleh sembuh kerana sistem imun yang bertindak balas secara normal.

Namun, bagi sesetengah pesakit COVID-19, sistem imun tubuh bertindak balas secara ‘melampau’ terhadap jangkitan virus seterusnya menyebabkan kesihatan pesakit terus merosot.

Menurut Dekan Fakulti Perubatan, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, inilah yang disebut sebagai cytokine storm atau ‘ribut sitokin’ yang memburukkan tahap kesihatan pesakit COVID-19.
“Pada minggu pertama apabila pesakit itu dijangkiti, kuman ini akan mereplikasi pada paru-paru lalu menyebabkan simptom-simptom seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas.

“Sistem imun tubuh akan bertindak balas dengan cuba mengatasi jangkitan kuman ini.
“Tetapi bagi sesetengah pesakit, sistem imun berlaku secara ‘overdrive’, iaitu dengan molekul-molekul akan dilepaskan.

“Pada minggu kedua, apabila kesihatan pesakit merosot (kerana ribut sitokin) pesakit akan mengalami gejala sesak nafas dan komplikasi lain.

“Malah ada ujian kaji darah yang dikenali sebagai CRP, yang merujuk kepada ribut sitokin," katanya yang muncul dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.

Oleh kerana itu, beliau memaklumkan, satu ujian klinikal bakal dijalankan berkaitan pencarian penawar bagi sindrom ribut sitokin yang dialami oleh pesakit COVID-19.




Ujian kinikal yang akan dimulakan pada pertengahan April itu membabitkan empat buah hospital iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Berdasarkan pemerhatian pengalaman rawatan di seluruh dunia, jelas Dr Adeeba, PPUM yang mula menjalankan ujian rawatan menggunakan ubat tocizulimab untuk pesakit ribut sitokin kini menampakkan kesan yang memberangsangkan.




Ini termasuklah enam pesakit yang menjalani ujian peringkat awal berkenaan tidak lagi memerlukan bantuan ventilator.

Ujian klinikal itu merupakan antara lima kajian seumpamanya di peringkat antarabangsa ketika ini, yang membabitkan penyelidikan terhadap ujian ubat tocilizumab bagi merawat COVID-19 bagi pesakit pada tahap teruk.

Tambah Dr Adeeba, dana sejumlah RM1.5 juta diperlukan untuk ujian klinikal tersebut.