Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mendapatkan maklumat rasmi daripada agensi yang berkaitan berhubung kes melibatkan pedofil warga British, Richard Huckle.

Merujuk laporan media berhubung tuduhan jenayah pedofil itu ke atas 200 kanak-kanak termasuk di Malaysia, menteri berkenaan, Datuk Seri Rohani Abdul Karim terkejut serta kesal dengan perlakuan jenayah tersebut khususnya apabila individu berkenaan berselindung di sebalik kerja kebajikan dan sukarela terhadap kanak-kanak.

"Justeru, KPWKM akan mendapatkan maklumat rasmi daripada agensi terlibat sebelum tindakan tegas diambil selaras dengan undang-undang Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata KPWKM juga menyediakan Talian KASIH 15999 untuk orang ramai menyalurkan apa-apa maklumat berkaitan kes berkenaan.

"Saya juga berharap semua pihak memberi perhatian terhadap sensitiviti mangsa dan keluarga yang terlibat," katanya.

Media British melaporkan bahawa jurugambar bebas Huckle, 30, mungkin telah mencabul hingga 200 kanak-kanak berusia antara enam bulan dan 12 tahun dari tahun 2006 hingga 2014.

Rohani dalam pada itu berkata dengan pelaksanaan Rang Undang-undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 kelak, satu daftar akan diwujudkan mengandungi maklumat pesalah yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah, termasuk kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak.