Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Madius Wilfred Tangau, menyifatkan pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu, Tan Sri Richard Malanjum sebagai indikasi bahawa kerajaan telus dalam memilih individu untuk memegang satu-satu jawatan penting.

Kata Madius, ini berdasarkan kedudukan Richard yang berada di hirarki tertinggi dalam institusi kehakiman negara.

"Apa yang kita boleh nampak adalah kerajaan menghormati kekananan, bukti kerajaan melaksanakan pelantikan mengikut merit.

"Dari situ, rakyat tentunya boleh meletakkan harapan bahawa apa saja pelantikan selepas ini, kerajaan tidak menilai perkara lain selain daripada merit dan bakat mereka yang mahu dilantik," katanya ketika ditemu bual dalam program 'Personaliti' di Astro AWANI, di sini hari ini.

BACA: Richard Malanjum Ketua Hakim Negara yang baharu

INFOGRAFIK: Richard Malanjum, Ketua Hakim Negara ke-9


Bukan itu sahaja, pelantikan Richard dianggap satu penghormatan buat warga Sabah khususnya Tuaran.

"Beliau cuma orang kampung. Saya sendiri awalnya tidak tahu yang beliau berasal dari tempat saya iaitu Tuaran, walaupun dibesarkan di Penampang.

"Bagi kami, pelantikannya memberi impak bukan sahaja kerana beliau dari Sabah tetapi kerana pelantikan itu memberi makna yang lebih besar.

"Bayangkan jika beliau tidak dilantik, tentunya memberi perasaan dan gambaran lain pula. Adakah beliau tidak dilantik kerana beliau berasal dari Sabah?" tambah Madius.

Richard, 65 tahun, telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu pada 11 Julai lalu.