Kanak-kanak yang sering terdedah dengan asap rokok berdepan risiko menghidap pelbagai penyakit seperti jangkitan paru-paru, lelah dan masalah pendengaran.

Pada masa sama, menurut kajian, kebarangkalian untuk bayi kecil mendapat sindrom kematian mengejut (SIDS), juga tinggi bagi ibu mengandung yang merokok.

Apabila sebatang rokok dibakar, perokok melepaskan lebih 4 ribu bahan kimia ke ruang udara melalui asapnya.

Menurut Pakar Perubatan Respiratori Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Norzila Mohamed Zainudin, kanak-kanak adalah golongan yang mudah terdedah dengan asap rokok berbanding golongan dewasa.

"Kalau orang dewasa bernafas dalam 15 atau 16 kadar pernafasan seminit, kanak-kanak pula kadar pernafasan mereka adalah lebih tinggi, dalam 40 hingga 50.

"Itu bermakna bahawa dengan kadar pernafasan yang lebih laju, mereka akan menyedut lebih daripada orang dewasa," kata Dr. Norzila.

Jelasnya lagi, bentuk paru-paru kanak-kanak yang lebih kecil dan masih dalam peringkat perkembangan perlu dijaga untuk elak kesan buruk jangka panjang.

Lebih membimbangkan lagi adalah risiko terhadap anak yang ibunya merokok ketika mengandung.

"Sebagai seorang ibu yang mengandung dan merokok, ini bermakna bayi dalam kandungan akan terdedah dengan bahan nikotin di dalam cirkulasi darah, ia akan beri kesan kepada perkembangan paru-paru kanak2 ini berbanding ibu yang bukan perokok.

"Apabila dilahirkan, bayi itu mungkin akan mengalami masalah dengan saluran pernafasan yang lebih kecil dan kadar risiko mendapat jangkitan paru-paru seperti bronkitis, pneumonia adalah lebih tinggi.

Selain itu ia juga beri kesan kepada bayi dari segi berat badan yang rendah," kata Dr. Norzila.

Sementara itu, mengulas jumlah kanak-kanak yang menghadapi penyakit lelah di Malaysia adalah tinggi, antara 5 hingga 10 peratus, Dr. Norzila berkata walaupun rawatan untuk penyakit lelah sudah sedia ada, pendedahan kepada asap rokok yang berterusan tetap boleh menyebabkan serangan lelah akut.

"Kajian menunjukkan kandungan nikotin dalam rokok boleh menyebabkan ubat asma tidak memberi kesan 100% kepada pesakit," kata Dr. Norzila

Selain itu, Dr. Norzila juga berkata hampir 90 peratus daripada kanak-kanak yang menghidap penyakit paru-paru adalah daripada keluarga yang sekurang-kurangnya mempunyai seorang perokok.

Walaupun ahli keluarga terbabit merokok di luar rumah dengan menganggap ia tidak akan memberi kesan kepada anak, Dr. Norzila menegaskan ia adalah pemahaman yang salah.

"Apabila seorang perokok itu merokok, dia ada kesan-kesan nikotin di kulit, di baju, dan apabila dia balik, dia mendukung, mencium anak. Jadi kesan itu juga beri kesan yang negatif yang dipanggil sebagai third stream smoker," jelasnya.

Persoalannya kini adalah, adakah kita mahukan anak-anak kita berdepan pelbagai penyakit pada usia yang awal?