Dalam usaha memperkasa agenda bumiputera, platform hypermarket atas talian, Rizqmall.My dilancarkan pada Rabu.

Rizqmall.My ketika ini menawarkan lebih 1,200 barangan melibatkan 800 pengedar.

Pelancaran disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof di ibu negara.

Menurut Mohd Redzuan, barangan yang dijual usahawan juga perlu melalui penelitian dan piawaian tertentu bagi memastikan kualitinya yang selamat dan dijamin Halal.

"Saya rasa mereka ada piawaian tertentu untuk memastikan barangan itu selamat. Saya juga nasihatkan mereka supaya tepati perkara itu agar mereka memastikan mereka dapat masuk Rizqmall. Kalau tidak ia akan gagal kerana keyakinan pembeli kena ada," katanya selepas melancarkan Rizqmall.My serta Konvensyen Pelan Pelaksanaan dan Pemerkasaan Transformasi Ekonomi Bumiputera (3PTEB) di ibu negara pada Rabu.

Dengan tema 'Stay Home and Shop Online', mereka yang berminat untuk membeli barangan boleh terus melayari store.Rizqmall.my.

Rizqmall.my merupakan inisiatif Pertubuhan Pemerkasaan dan Transformasi Ekonomi Malaysia (PPTEM) dalam usaha mentransformasi keusahawanan era digital.

Selain itu, ketika ini, dua hypermarket offline, RizqMart telah dibuka iaitu di Gemencih, Negeri Sembilan dan Bangi, Selangor.

PPTEM juga bercadang untuk memperluaskannya ke platform aplikasi mudah alih pada masa akan datang.