Kementerian Pengangkutan memperuntuk RM1.4 bilion bagi meningkatan frekuensi perkhidmatan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) khusus pada waktu puncak, kata Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kerja menaik taraf frekuensi diharap dapat disempurnakan sebelum tahun 2020.

"Kita sedang buat signaling link Landasan Berkembar Lembah Klang. Kita akan kembangkannya ke Seremban kerana signaling link berupaya tingkatkan frekuensi perkhidmatan komuter," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan keretapi akan ditingkatkan dengan memastikan masalah seperti gerabak tergelincir tidak akan berlaku.

Dalam pada itu, Liow berkata pasukan siasatan telah ditubuhkan untuk menyiasat kejadian gerabak barang KTMB tergelincir daripada landasan sehingga menyebabkan ribuan penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) terkandas di Stesen KTMB Ipoh pada Jumaat lalu. -- BERNAMA