Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.6 bilion bagi membiayai kos rawatan 40,000 pesakit buah pinggang di negara ini tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata kos rawatan dijangka meningkat berikutan peningkatan pesakit buah pinggang antara 6,000 hingga 7,000 orang setiap tahun.

"Kos rawatan bagi merawat pesakit buah pinggang dianggarkan sebanyak RM40,000 seorang. Jika dilihat ini merupakan jumlah yang besar.

Kos tersebut turut melibatkan cuci darah seminggu tiga kali,sebulan 12 kali dan setahun 165 kali. Jika ada 40,000 orang pesakit dengan kos rawatan RM40,000 seorang, untuk satu penyakit sahaja kos rawatannya sudah begitu tinggi, belum termasuk (kos rawatan) penyakit-penyakit lain lagi," katanya pada Majlis Pelancaran Buku Perubatan Dewan Bahasa dan Pustaka 2017 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 di sini, hari ini.

Dr Hilmi berkata kementerian memfokuskan kepada langkah pencegahan dalam menangani penyakit buah pinggang serta pelbagai penyakit berbahaya lain dengan menjalankan pelbagai kempen kesedaran kepada orang ramai.

Beliau berkata orang ramai digalakkan mengamalkan gaya hidup sihat serta menjaga pemakanan seharian bagi mengelak daripada menghidapi penyakit berbahaya itu.

Sementara itu, sebanyak 22 buku bertemakan perubatan dan kesihatan dilancarkan yang memperkenalkan hasil karya 42 penulis dalam kalangan pakar-pakar perubatan tempatan sekali gus mendokumentasikan ilmu dan kepakaran mereka dalam bentuk penerbitan untuk bacaan masyarakat

Buku bertemakan kesihatan dan perubatan tersebut dapat membantu masyarakat mendapatkan lebih banyak maklumat tentang dunia perubatan serta memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat khususnya dalam bidang perubatan.

-- BERNAMA