Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan RM1.7 juta wang zakat untuk diagihkan kepada golongan asnaf sepanjang Ramadan tahun ini.

Ahli Lembaga Pengarah TH Ghazali Awang berkata, setiap seorang daripada mereka akan menerima RM500 seorang.

"TH mempunyai kira-kira RM50 bilion jumlah simpanan daripada keseluruhan 8.4 juta pendepositnya di seluruh negara.

"Simpanan yang diterima setiap tahun daripada pendeposit baharu ialah kira-kira RM5 juta di 120 cawangannya," katanya selepas majlis sumbangan Zakat Program Ehsan TH bagi kawasan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Seberang Takir pada Isnin.

Mengenai Program Ehsan TH, Ghazali berkata TH menyasarkan agihan zakat berjumlah RM1.7 juta kepada sebanyak 3,424 asnaf miskin dan fakir di seluruh negara pada tahun ini.

Katanya bagi negeri Terengganu, sebanyak 320 orang terdiri daripada golongan miskin menerima sumbangan masing-masing RM500 melibatkan jumlah keseluruhan RM160,000.

Ghazali berkata program berkenaan merupakan tanggungjawab sosial tahunan TH yang diadakan pada bulan Ramadan bertujuan meringankan beban kewangan golongan itu.

"Walaupun sumbangan kita tidak begitu besar, namun diharap ia mampu meringan sedikit beban golongan itu yang sangat memerlukan," katanya.

Jelasnya, Terengganu merupakan negeri kedua selepas Perak yang terlibat dalam penjelajahan TH untuk agihan wang zakat yang dijangka berakhir 22 Julai ini.

Antara yang layak menerima zakat berkenaan ialah ibu tunggal, fakir miskin dan orang kurang upaya (OKU).

Kata Ghazali, selain Program Ihsan Tabung Haji, TH turut melaksanakan beberapa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang lain khususnya untuk golongan asnaf seperti Program Baiti (program pembinaan dan membaik pulih rumah) dan Projek Iqra (program Pendidikan) di seluruh negara.