Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan upah RM1 kepada setiap ekor tikus yang berjaya ditangkap orang ramai dalam usaha membasmi penyakit leptospirosis atau kencing tikus, di ibu negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Salleh Yusup berkata DBKL menyediakan peruntukan RM50,000 setahun khusus untuk tujuan itu, termasuk memberi perangkap tikus percuma kepada orang ramai.

"DBKL menetapkan sasaran untuk menangkap dan menghapuskan tidak kurang 50,000 ekor tikus setahun," katanya ketika berucap merasmikan gotong-royong Perdana 'Kempen Pembasmian Tikus WPKL' 2013" pada Sabtu.

Beliau berkata, tahun lepas DBKL menghapuskan 51,110 ekor tikus sementara sebanyak 32,769 ekor berjaya dihapuskan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata walaupun usaha menangkap tikus dijalankan DBKL secara rutin, namun aktiviti menangkap dan mengawal haiwan perosak itu perlu kerjasama dan sokongan masyarakat.

"Terdapat peningkatan penyakit leptospirosis ... dan enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,768 kes dilaporkan dengan membabitkan 18 kematian," katanya.

Kempen membasmi tikus yang diterajui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu dijalankan serentak di seluruh negara semalam.

Di ibu negara, ia melibatkan 11 kawasan Parlimen termasuk di Seputeh, Cheras, Lembah Pantai, Kepong, Segambut, Batu, Wangsa Maju, Setiawangsa, Bukit Bintang, Titiwangsa dan Bandar Tun Razak.

Sementara itu di Kemamam, kira-kira 500 orang daripada 20 agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan di daerah ini menyertai program gotong-royong Perdana 1Malaysia, sempena Kempen Kawalan Tikus semalam.

Timbalan Pengerusi I Perumahan dan Kerajaan Tempatan Terengganu, Mohd Pehimi Yusof berkata Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) menawarkan insentif RM2 bagi setiap ekor tikus yang berjaya ditangkap dan diserahkan kepadanya.

Terengganu mencatat sebanyak 49 kes leptospirosis melibatkan dua kematian di laporkan tahun ini, menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Anwa Sulaiman.

Di Kuantan, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mempertingkatkan usaha memusnahkan haiwan perosak itu dalam usaha menjadikan Kuantan lebih bersih dan sihat untuk didiami.

Yang Dipertua MPK Datuk Zulkifli Yaacob, sejak tiga tahun lepas, lebih 10,000 ekor tikus berjaya dimusnahkan dan operasi memusnahkan tikus dijalankan sepanjang tahun.