Harap tiada lagi pendedahan mega mengenai skandal penyelewengan dan penyalahgunaan kewangan kerajaan terdahulu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini selepas mendedahkan kegagalan kerajaan terdahulu gagal mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah terlebih bayar berjumlah RM16.04 bilion yang tertunggak sejak lebih enam tahun hingga 31 Mei lalu.

Katanya jumlah itu melibatkan 1,653,786 kes merangkumi syarikat, individu, persatuan dan yayasan yang tidak menerima bayaran balik cukai terlebih bayar mereka daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Ini, jelasnya lagi, disebabkan oleh kekurangan pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

Statistik amaun baki kredit belum dibayar balik mengikut usia kes pada 31 Mei 2018 . - Grafik Astro AWANI

“Bayaran balik cukai hanya boleh dilakukan berdasarkan jumlah baki tabung tersebut. Baki yang sedia ada dalam TBBC pada 31 Mei tahun ini hanya RM1.486 bilion, berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara.

“Amaun ini adalah jauh lebih rendah daripada keperluan jumlah bayaran balik kredit cukai sebanyak RM16.046 bilion yang sepatutnya dibayar,” kata Setiausaha Agung DAP itu, sambil menjelas lanjut, RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC telahpun dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan lama.

Lim berkata, ia jelas menunjukkan hasil kerajaan Persekutuan yang dilaporkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini adalah tidak tepat dan terlebih lapor.

Bagi meringankan beban pembayar cukai, Lim berkata, kerajaan bersetuju membenarkan pembayar cukai yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDNM membuat permohonan “set-off” (tolak selesai) sekiranya mereka mempunyai tanggungan cukai yang perlu dibayar pada tahun semasa.

Beliau berkata permohonan set-off itu hendaklah dikemukakan kepada LHDNM untuk disemak dan dipertimbangkan kelulusannya, manakala kerajaan akan membuat bayaran balik wang mengikut kedudukan kewangan negara.

Dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini, Lim telah mendedahkan mendedahkan masalah tunggakan bayaran balik cukai input GST berjumlah RM19.397 bilion setakat 31 Mei lalu yang disebabkan oleh kegagalan kerajaan terdahulu memindahkan wang yang mencukupi kepada tabung amanah untuk bayaran balik.