Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyangkal dakwaan mengatakan kerajaan pusat tidak memainkan peranan membantu menangani banjir di Pulau Pinang.

Sejak 2006 katanya, kerajaan telah melaburkan sejumlah RM2.5 bilion ringgit untuk pelbagai projek, termasuk 29 projek besar untuk mitigasi banjir di negeri tersebut.

“Saya ada senarai penuh semua projek mitigasi di Pulau Pinang,” tegasnya.

“Malah ada beberapa lagi projek sampingan yang akan datang dilaksanakan menjadikan jumlah keseluruhan nilai projek RM2.8 bilion.”

Cuma maklumnya yang masih belum selesai ketika ini adalah projek di Sungai Pinang bernilai RM150 juta kerana masalah pemilikan tanah dan pembersihan setinggan.

“Proses pemilikan semula tanah yang bertindan dan pembersihan kawasan setinggan ini memakan masa, kerajaan negeri hanya dapat selesaikannya pada 2016.

“Bagaimanapun saya berjanji pada 1 Januari tahun depan projek ini akan diserahkan kepada kontraktor dan projek ini dijangka mengambil masa dua tahun untuk siap sepenuhnya,” katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran Hari Sungai Sedunia sempena perhimpunan bulanan kementeriannya di Jabatan Pengairan dan Saliran Ampang hari ini.

Namun tegas beliau, kerjasama daripada kerajaan negeri yang menguruskan jabatan pengairan dan saliran amat diperlukan dalam memastikan keberkesanan projek-projek yang dilaksanakan.

“Kalau siap nanti, sekiranya berlaku fenomena hujan lebat berterusan dan air pasang tinggi seperti minggu lepas, keadaan itu tidak akan buruk.

“Mitigasi banjir ini bukan penyelesaian muktamad. Kerajaan negeri mesti kena jaga perparitan dalaman, besarkan perparitan dan memastikan sistem perparitan dibaiki dan dilihat semula,” jelasnya.

Pada Ahad, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta Pengerusi Majlis Tindakan Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman membuktikan bahawa kerajaan pusat telah membelanjakan RM2 bilion untuk projek tebatan di negeri itu seperti didakwa.

Menurut Guan Eng, hanya RM300,000 dibelanjakan kerajaan pusat berdasarkan rekod yang diperiksanya dan mempersoalkan baki daripada peruntukan tersebut.

Ia sebagai membalas kenyataan Zainal Abidin yang mendakwa kerajaan pusat tidak pernah memberhentikan peruntukan untuk proje mitigasi banjir di Pulau Pinang walaupun dipimpin DAP sejak 2008.

Menurutnya, RM2 bilion itu merangkumi RM1.5 bilion termasuk RM34 juta untuk pembersihan dan rawatan air Sungai Pinang daripada RMK-10 (2006-2010), dan RM404.5 juta daripada RMK-11 (2011-2015).