NATIONAL
"RM2 juta seperti 'wang poket' saja" - Tengku Adnan nafi ambil duit untuk kegunaan peribadi

Kata Tengku Adnan, RM2 juta tidak mempunyai nilai yang tinggi untuk ahli perniagaan seperti beliau. - Gambar fail Astro AWANI
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan, beliau tidak perlu mengambil RM2 juta untuk kegunaan peribadi, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Menurut Bendahari UMNO itu, beliau sendiri merupakan ahli perniagaan yang cukup berjaya sebelum menceburi bidang politik dan nilai RM2 juta itu seolah-olah ‘wang poket’ bagi dirinya.
Ketika sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwaraya Julia Hamzah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, Ahli Parlimen Putrajaya itu sekali menegaskan, wang yang diterima dari Pengarah Urusan Tan Sri Chai Kin Kong itu adalah derma politik.
“Ia (RM2 juta itu) tidak (mempunyai nilai terlalu tinggi). Bagi saya ia seperti wang poket sahaja,” katanya ketika ditanya adakah amaun yang dimaksudkan itu mempunyai nilai yang tinggi untuk beliau.
Tengku Adnan berkata, beliau sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan Julia bahawa beliau menerima wang itu untuk kegunaan peribadi beliau.
Pada Rabu, Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata, beliau telah mendahulukan wangnya sebanyak RM2 juta bagi kegunaan jentera pilihan raya Barisan Nasional sewaktu Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016.
Kata Tengku Adnan, sebetulnya, beliau menerima derma politik berkenaan seperti yang dijanjikan oleh Chai memandangkan ahli perniagaan itu merupakan rakannya sejak 30 tahun lepas,
Bagaimanapun, sumbangan yang dijanjikan Chai tidak dapat direalisasikan dalam masa yang singkat untuk mengumpulkan wang sebanyak itu.
Susulan itu, Tengku Adnan berkata, beliau meminta Chai mengeluarkan cek atas nama syarikat beliau iaitu Tadmansori Holdings bagi menggantikan semula wang peribadinya yang digunakan untuk tujuan pilihan raya kecil itu.
Tengku Adnan Mansor menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan atas dakwaan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan empat tahun lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami