Tutup

RM24.7 bilion tunggakan GST, cukai pendapatan dilunaskan

RM24.7 bilion tunggakan GST, cukai pendapatan dilunaskan
LIM GUAN ENG: Bayaran semula tunggakan itu meredakan isu aliran tunai yang dihadapi para usahawan sekali gus menjadi rangsangan kepada ekonomi.
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah membayar balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta cukai pendapatan berjumlah RM24.7 bilion daripada RM37 bilion tunggakan kepada pembayar cukai setakat 30 Jun lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata bayaran itu dibuat daripada dividen khas yang diterima kerajaan daripada Petronas seperti diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2019 pada 2 November 2018.
“Kami jangka dapat melunaskan pembayaran RM37 bilion tunggakan tersebut, dan ini hanya dapat dilaksanakan disebabkan pertukaran kerajaan.

“Bayaran semula tunggakan itu meredakan isu aliran tunai yang dihadapi para usahawan sekali gus menjadi rangsangan kepada ekonomi,” katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Kebangsaan 2019, anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Bercakap ketika ditemui media pada majlis sama, Guan Eng berkata tiga projek berjumlah RM2.2 bilion berjaya diluluskan dalam masa yang singkat melalui Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) yang disertai kementeriannya dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Yang penting ialah bahawa kita telah tubuh jawatankuasa bersama yang dipengerusikan oleh saya dan Menteri MITI (Datuk Darell Leiking), di mana kita oleh buat keputusan dengan segera.

“Kalau sebelum ini mungkin kena ambil berbulan-bulan. Kita kena buat keputusan dengan mesyuarat bulanan. Hasil daripada mesyuarat bersama ini, kita boleh lihat pelaburan bernilai RM2.2 bilion telah diputuskan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak memberi sebarang perincian berkenaan pelaburan yang dilakukan oleh sebuah syarikat luar negara dan dua buah syarikat tempatan itu, dengan menyifatkan pengumuman itu harus diumumkan oleh ketiga-tiga syarikat terbabit.


Tag: lim guan eng, cukai barang dan perkhidmatan, gst, pembayar cukai, belanjawan 2019, ekonomi



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.