Tutup

RM42 juta diperlukan baik pulih sistem kumbahan di Sandakan

RM42 juta diperlukan baik pulih sistem kumbahan di Sandakan
Salah satu insiatif terdekat oleh kementeriannya adalah menyediakan sebuah lori kumbahan atau lori pam bagi kerja-kerja pembersihan kumbahan di daerah berkenaan.
SANDAKAN: Kerajaan Negeri Sabah memerlukan kos sekurang-kurangnya RM42 juta bagi membaik pulih sistem pembentungan kumbahan yang dilaporkan mengalami kerosakan hampir 70 peratus di daerah Sandakan dalam tempoh terdekat.

Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony berkata, perbelanjaan itu akan disalurkan untuk pembelian pam baharu, perkakasan elektrik dan sebagainya bagi menampung semula kedudukan loji yang rosak akibat penyelenggaran tidak seimbang sejak dahulu.

Beliau berkata, salah satu insiatif terdekat oleh kementeriannya adalah menyediakan sebuah lori kumbahan atau lori pam bagi kerja-kerja pembersihan kumbahan di daerah berkenaan.
"Untuk mengatasi masalah pembentungan ini, kita perlukan satu lori kumbahan dan juga sekurang-kurangnya satu lori pam untuk pembersihan saluran-saluran kumbahan jadi kita sudah bersetuju di peringkat kementerian untuk kelulusan tersebut sebelum diangkat kepada pengetahuan Ketua Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita bersempena lawatan kerjanya di Loji Rawatan Kumbahan (STP) Berhala Darat, Sim-Sim, Sandakan, hari ini.
Salah satu loji yang perlu dibaik pulih oleh Kementerian Pembangunan dan Infrastruktur Sabah.

Peter dan rombongannya terdahulu mengadakan taklimat ringkas di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sandakan sebelum melakukan lawatan ke beberapa STP di daerah tersebut.

Mengulas mengenai sama ada wujudnya kepincangan pengurusan sistem kumbahan dan penyelenggaran loji air di daerah itu, beliau berkata, pihaknya akan memastikan ianya akan dapat diselesaikan melalui kaedah serta pelan tindakan yang kini giat dijalankan.

Jelas beliau lagi, antara faktor utama menyumbang kepada kerosakan loji kumbahan adalah kecurian yang agak berleluasa di kawasan terlibat membabitkan wayar dan keperluan elektrik selain ketiadaan kemudahan lori kumbahan serta lori pam.