Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan jumlah kerugian akibat kebakaran sebanyak RM5 bilion pada tahun lepas di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Soiman Jahid berkata jumlah itu meningkat kira-kira RM1 bilion berbanding RM4 bilion tahun sebelumnya (2016).

Beliau berkata antara penyumbang peningkatan kerugian adalah kebakaran kilang-kilang yang mempunyai nilai harta tinggi dan kebakaran kawasan perumahan yang meningkat pada masa kini.

"Disebabkan itu, walaupun statistik jumlah kerugian menunjukkan peningkatan, namun jumlah statistik bilangan kebakaran pula menunjukkan penurunan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu (JPBM) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Timur 2017 di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah JBPM Negeri Terengganu, Azlimin Mat Noor dan Komandan ABPM wilayah Timur Sobeeri Basiran.

Mengulas lanjut, Soiman berkata kesukaran pihak Bomba memadamkan api kebakaran susulan pelbagai langkah keselamatan yang diambil oleh pemilik premis juga menyebabkan peningkatan kerugian terhadap premis.

"Contohnya kebakaran yang berlaku di Jalan Kota (Kuala Terengganu) tempoh hari (kedai alatan), masalah itu berkait antara keselamatan dan perlindungan....tetapi memang kita tidak nafikan pemilik premis biasanya akan memasang jeriji dan pagar yang kukuh bagi mengelakkan berlaku kehilangan barang dan sebagainya" katanya.

Menurut Soiman, bagi menangani isu itu, pihak Bomba akan membuat pemantauan terhadap premis-premis dan memberikan notis penghapusan bahaya kebakaran terhadap pemilik premis.

"Pemilik premis boleh dikenakan tindakan undang-undang jika melakukan kesalahan berulang yang boleh menyebabkan kesukaran operasi menyelamat dan memadam kebakaran.

"Mereka yang didapati bersalah akan dituduh di mahkamah di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000," katanya.

Sementara itu, Soiman berkata pada tahun lepas pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira 82,000 dan lebih kurang 30,000 melibatkan panggilan kebakaran manakala selebihnya panggilan untuk menyelamat.

Dalam pada itu susulan kebakaran kedai perkakas di Jalan Kota, Kuala Terengganu baru-baru ini, Azlimin berkata pihaknya akan memanggil semua pemilik premis barang perkakas rumah bagi mengadakan mesyuarat penyelarasan pelupusan bahaya kebakaran secara lebih agresif.

"Di Terengganu dua kebakaran (kedai alatan) telah berlaku yang melibatkan tempoh masa lama untuk dipadamkan... yang pertama melibatkan kebakaran rumah kedai Kampung Tanjung yang mengambil masa enam jam dan kebakaran di Jalan Kota mengambil masa 10 jam untuk memadam kebakaran sepenuhnya.

"Premis yang mempunyai bahan plastik dan bahan cat yang banyak boleh menyebabkan letupan ini kita perlu berjaga-jaga," katanya.

Pada majlis itu Soiman menganugerahkan 53 penerima Anugerah Khidmat Cemerlang JPBM Terengganu 14 penerima daripada APBM Wilayah Timur dan 30 pegawai dan anggota JPBM Terengganu menerima pingat kebesaran Bomba.

-- BERNAMA