Kerajaan negeri Sarawak memperuntukkan RM500 juta bagi menaik taraf ban di kawasan Samarahan dan Asajaya yang berdepan masalah mendapan.

Peruntukan besar itu perlu diberikan kerana kawasan terbabit mempunyai jaringan ban paling banyak di negeri itu.

Sekiranya tidak dinaik taraf segera, ia akan menjejaskan kawasan kediaman penduduk dan memberi kesan kepada aktiviti pertanian.

Menurut ADUN Asajaya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, kebanyakan ban yang sedia ada siap dibina sekitar 30 ke 40 tahun dahulu dan pastinya ia perlu dinaik taraf.

“Banyak jaringan ban dibina di negeri Sarawak adalah dalam kawasan itu yang dibina dalam tahun 70-an, 80-an dan pada masa ini dia sudah mendap, bila sudah mendap air mudah masuk jadi sekarang kita nak pertingkatkan termasuk membina jaringan jalan-jalan yang baharu,” katanya.

Selain projek naik taraf ban, Kampung Tambirat di Asajaya yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di daerah itu turut menerima peruntukan RM21 juta bagi projek penambatan hakisan, pembinaan Waterfont dan Astaka.

“Bagi Kampung Tambirat pada masa ini, kita sedang nak membuat penambatan kerana ada hakisan dan banyak juga rumah yang terima kesan akibat berlaku hakisan, jadi kita akan buat tambakan dan peruntukkan juga sudah diluluskan,” ujar beliau lagi.

Turut mendapat khabar gembira ialah penduduk Kampung Sambir apabila kerajaan negeri meluluskan projek pelaksanaan dasar baharu Skim Pembesaran Kampung.

Skim ini adalah projek di bawah Samarahan Regional Development Agency (IRSDA).