Tutup

RM676 juta dadah dirampas, Malaysia terus jadi transit pengedaran dadah dunia - Kastam Malaysia

RM676 juta dadah dirampas, Malaysia terus jadi transit pengedaran dadah dunia - Kastam Malaysia
Rampasan dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu membabitkan ketamin seberat hampir 467 kilogram (kg) dan kokain seberat lebih 3,200 kg. - Foto Astro AWANI
NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas dadah jenis ketamin dan kokain bernilai RM676 juta dalam dua serbuan berasingan pada Ahad lalu, di Selangor.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Paddy Abd Halim berkata, dadah yang dirampas dalam serbuan yang dibuat pada Op Soda itu dipercayai menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum kesemua bahan terlarang itu dieksport ke negara jiran.
Katanya, dadah-dadah berkenaan dibawa masuk dari Pakistan dan Ecuador melalui Pelabuhan Klang, Selangor sebelum disembunyikan di dua premis berasingan.

Beliau berkata, rampasan dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu membabitkan ketamin seberat hampir 467 kilogram (kg) dan kokain seberat lebih 3,200 kg.

Ujarnya, serbuan berkenaan dilakukan oleh anggota Cawangan Narkotik JKDM dan JSJN Bukit Aman bersama Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra) selepas risikan selama hampir sebulan.

Serbuan pertama dilakukan di sebuah premis di Puncak Alam pada 4.30 petang, 18 Ogos lalu dan menahan empat lelaki tempatan serta sembilan lelaki warga asing berusia 27 hingga 56 tahun.

Hasil serbuan kemudian menemui 11 guni putih light soda ash mengandungi ketamin seberat 467 kilogram.

Suspek yang disoal siasat kemudian membawa anggota polis ke sebuah rumah di Seksyen U5 Shah Alam, Selangor dan menjumpai beberapa lagi bungkusan mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain ditingkat atas premis.

Beliau memaklumkan perkara itu pada sidang media di di Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan, Nilai, Negeri Sembilan hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Tambahnya, semua suspek direman selama 12 hari sehingga 30 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.


Sementara itu, Mohd Khalil berkata, beliau percaya kokain dipercayai untuk pasaran luar berikutan penggunaan dadah jenis itu masih kurang di negara ini.

Tambahnya, rampasan ini dipercayai merupakan rampasan terbesar dalam sejarah PDRM serta di rantau ASEAN dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti negara terbabit.


Tag: PDRM, Pakistan, Negeri Sembilan, Bukit Aman, Malaysia, Polis Diraja Malaysia, rampasan dadah, Op Soda, Cobra, kokain, ketamin



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.