Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa bertekad memastikan segenap lapisan rakyat khususnya masyarakat di pedalaman dapat mengecapi nikmat kemajuan negara.

Menurutnya, secara keseluruhan Kerajaan Pusat sudah memperuntukkan RM800 juta untuk pelbagai projek pembangunan luar bandar di Kapit dan Kanowit.

Menurut Najib, peruntukan pembangunan tersebut adalah komitmen kerajaan BN dalam menyediakan infrastruktur dan akses perhubungan kepada rakyat khususnya di luar bandar.

Ia termasuk beberapa laluan yang merupakan 'rangkaian jalan yang terputus' serta 'jalan pintasan' yang sudah pun dikenal pasti akan dilaksanakan tidak lama lagi dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh kira-kira dua tahun setengah.

“Saya telah mengadakan lawatan ke kawasan Kapit dan Kanowit hari ini dengan tujuan untuk melibat kemajuan jalan yang akan menghubungi Kapit dengan dunia luar yang telah diluluskan oleh kerajaan dan saya dapat lihat bahawa kemajuannya adalah amat mengalakkan dan ada pakej tu yang melebihi jadual.

“Saya juga ingin maklumkan jalan yang disebutkan sebagai missing link itu akan diuruskan oleh kerajaan dalam sedikit masa lagi dan ini dijangka dengan laluan baru yang melibatkan by-pass itu mungkin akan menelan belanja lebih kurang RM150 juta,” kata Najib ketika meninjau Karnival Belia Kanowit di Taman Muhibbah Kanowit, Sarawak hari ini.

Kata Najib lagi, dengan peningkatan sistem perhubungan, maka lebih banyak pembangunan dan kemajuan dapat diperkenalkan kerajaan.