Kerajaan sedang merangka pelbagai dasar dan strategi khusus untuk menstruktur dan mengukuhkan semula ekonomi serta menangani ketidakseimbangan pembangunan sosioekonomi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dasar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025 itu akan dibentangkan awal tahun 2021.

“Selain itu, kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi sedang dalam proses penyediaan pelan pemulihan ekonomi bagi jangka panjang dan akan dibentangkan pada bulan Oktober 2020.

“Antara lain, ia akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan dalam pasaran buruh, reformasi institusi awam dan kerangka urus tadbir serta pelaksanaan pendigitalan dan Revolusi Perindustrian Keempat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta Perdana Menteri menyatakan kedudukan ekonomi semasa, prestasi pertumbuhan ekonomi negara dan kadar pengangguran masa kini.

Mengulas berkenaan ekonomi Malaysia, Muhyiddin berkata ia telah berkembang sebanyak 0.7 peratus pada suku pertama tahun ini.

Perkembangan itu, katanya, adalah lebih baik daripada jangkaan kebanyakan pakar ekonomi, meskipun berhadapan dengan persekitaran ekonomi dan perdagangan global yang mencabar, terutamanya disebabkan pandemik COVID-19.

Malah, jelasnya, pertumbuhan yang perlahan itu berikutan aktiviti ekonomi yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan fasa pertama bermula 18 hingga 31 Mac lalu, bagi mengawal penularan COVID-19.

“Bank Negara Malaysia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2020 pada kadar antara negatif dua peratus hingga 0.5 peratus.

“Unjuran ini mengambil kira kesan daripada permintaan global yang lemah, gangguan rantaian bekalan dan langkah kawalan COVID-19 pada peringkat global dan domestik,” ujarnya.

Tambah beliau, Jabatan Perangkaan mengunjurkan kadar pengangguran adalah sebanyak 5.5 peratus atau 860,000 orang bagi tahun 2020.

Bagaimanapun, jelas Muhyiddin pasaran buruh dijangka mulai pulih pada akhir tahun ini berikutan langkah Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membolehkan operasi perniagaan dibuka sepenuhnya pada 10 Jun 2020.

Selain itu, ujar Muhyiddin Kerajaan telah memperuntukkan hampir RM15 bilion melalui PRIHATIN dan PENJANA untuk dapat membantu hampir 3.3 juta rakyat yang terkesan dengan COVID-19 seperti Program Subsidi Upah, Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan.