RAJA gula, Tan Sri Robert Kuok menaikkan nama negara dalam senarai bilionair dunia Forbes untuk tahun 2019 pada tempat ke-104, selain individu lain seperti Tan Sri Ananda Krishnan yang berada di kedudukan ke-261 dan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pula di tempat ke-1,349.

Walaupun kedudukan pengasas Shangri-La Hotels dan pemilik Kuok Group yang berusia 95 tahun itu menurun daripada tempat ke-96 pada senarai tahun lepas dan tidak lagi termasuk dalam senarai 100 bilionair dunia, namun beliau masih kekal sebagai individu paling kaya di negara ini dengan nilai kekayaan bersih berjumlah RM52 bilion.

Senarai Forbes’ 2019 Billionaires yang dilancarkan pada Selasa turut menyenaraikan 14 bilionair Malaysia.

Selain Kuok, pengasas Hong Leong Group Tan Sri Quek Leng Chan menjadi individu kedua paling kaya di Malaysia, namun berada di tempat ke-149 di dunia dengan nilai kekayaan lebih RM34 bilion.

Syed Mokhtar turut tersenarai antara individu Bumiputera yang paling kaya di dunia dan ke-10 paling kaya di dalam negara bersama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Press Metal, Tan Sri Koon Poh Keong yang juga mempunyai nilai kekayaan hampir RM7 bilion.

Menurut Forbes, jutawan dunia turut terkesan dengan keadaan ekonomi yang semakin merosot dan perkembangan itu dapat dilihat pada jumlah bilionair global berkurangan seramai 55 orang tahun ini berbanding 2018 menjadikan angka terbaharu seramai 2,153 bilionair.

Usahawan sektor teknologi masih mendominasi kekayaan dunia dengan pengasas Amazon Jeff Bezos kekal di tempat pertama, diikuti dengan pengasas Microsoft Bill Gates di tempat kedua.

Antara individu terbaharu memasuki kumpulan bilionair dunia termasuk pengasas aplikasi penstriman muzik Spotify, Daniel Ek dan Martin Lorentzon, serta pengasas syarikat rokok elektronik Juul Labs, James Monsees dan Adam Bowen dan tidak dilupakan bilionair termuda di dunia, Kylie Jenner.

Berikut adalah 14 warga Malaysia yang tersenarai:

14 warga Malaysia yang tersenarai sebagai individu terkaya dunia.