Seorang lelaki 53 tahun dijatuhi hukuman penjara 15 tahun penjara dan 10 kali sebatan atas kesalahan merogol anak kandungnya.

Hakim Zaini Fisal menjatuhkan hukuman terbabit ke atas lelaki berkenaan selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu merogol anak perempuannya berumur 16 tahun empat bulan di kawasan semak di Blok Ladang Sawit Bagahak Satu, antara pukul 9 hingga 12 tengah hari, antara bulan Mac dan April 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sehingga 30 tahun penjara dan sebat.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Don Stiwin Malanjum.

Mahkamah kemudian memerintahkan lelaki itu dipenjara bermula dari tarikh tangkapan iaitu 10 April 2018.

Menurut fakta kes, tertuduh membawa anak perempuannya ke kawasan blok ladang sawit.

Lelaki itu kemudian menolak dan merogol mangsa di kawasan semak.

Mangsa juga dilarang oleh tertuduh daripada memberitahu hal berkenaan kepada sesiapa.

Dia bagaimanapun kemudiannya menceritakan kejadian itu kepada ibunya kerana berasa bimbang apabila haidnya tidak datang.

Seterusnya, laporan polis dibuat di Balai Polis Tungku dan lelaki terbabit ditangkap.