Perbuatan keji seorang warga emas memasukkan jari ke dalam kemaluan bayi 11 bulan mendapat balasan apabila dia dipenjara 12 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak hari ini.

Hakim Mohd Kamil Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Hashim Karim, 68 tahun, selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu terhadap anak asuhan menantunya pada 20 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, bekas pemandu lori itu didakwa melakukan hubungan seks dengan bayi perempuan itu dengan cara memasukkan objek tumpul ke dalam kemaluan mangsa tanpa kebenarannya.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pada hari kejadian, bayi malang itu berada di dalam asuhan menantunya sebelum ditinggalkan di bawah jagaannya sementara menantunya keluar untuk urusan memperbaharui cukai kenderaan.

Bagaimanapun, pulang dari urusan, pengasuh mendapati bayi itu sedang menangis dalam buaian selain terdapat darah berketul melekat pada seluar mangsa.

Lelaki itu juga mengaku kepada anaknya (suami pengasuh) bahawa dia menjolok jari ke dalam faraj mangsa.