Jika keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disambut baik oleh pengusaha rokok elektronik di negara ini, lain pula nada Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) yang mahu Kementerian memperhalusi rang undang-undang berkenaan rokok elektronik.

Menurut Setiausaha Agungnya, Muhammad Sha'ani Abdullah, undang-undang perlu diperketatkan agar peranti berkenaan tidak dijual secara terbuka biarpun ia diberi kebenaran oleh kementerian.

"Kami tidak positif dalam menyokong penjualan peranti ini secara terbuka kepada sesiapa. Kita faham nikotin masih dikawal di bawah Akta Racun, hanya peranti oleh kerana melibatkan keselamatan. Ia perlu melalui satu piawaian kelulusan kepada penguna oleh kerana itu perlu ada kawal selia.

"Mungkin keputusan kerajaan memasukkan kawal selia piawaian dalam akta baharu, tetapi bahan yang digunakan peranti nikotin masih di bawah kawalan Akta Racun. Hanya pihak dibenarkan di bawah Akta Racun adalah doktor, ahli farmasi atau veterinar dibenarkan menjual nikotin.

"Jika dibandingkan dengan beberapa negara di Eropah dan Amerika Syarikat, mereka telah mengesyorkan penjualan peranti rokok elektronik sebagai peranti perubatan," ujarnya.

Jelas Muhammad, kebenaran hanya perlu diberikan kepada kepada pihak yang berkelayakan.

"Jika peranti ini digunakan untuk alat berhenti merokok, itu adalah satu peranti perubatan. Maka ia harus dibekalkan dan dijual oleh pihak yang mengesyorkan membantu perokok memberhenti rokok.

"Kita tak mahu alasan e-rokok membantu (orang) berhenti (tabiat) merokok, tetapi ia dijual terbuka kepada sesiapa sahaja. Itu bukan cara menggunakan peranti ini, maka ia perlu diperhalusi," katanya.

Kementerian Kesihatan pada Isnin antara lain menjelaskan bahawa rokok elektronik atau vape akan dikawal selia di bawah Akta Kawalan Tembakau.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sedang menyiapkan rang undang-undang itu dan akan membentangkannya di Parlimen menjelang akhir tahun ini.

Untuk rekod, 5 juta rakyat di Malaysia tergolong sebagai perokok.

Daripada jumlah itu, secara purata sebanyak 10,000 perokok meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit yang berkaitan dengan tabiat tersebut.