Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi tidak risau jika berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat selepas peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Ahli Parlimen Silam itu juga berkata, beliau tidak bimbang walaupun terdapat kaji selidik yang mengatakan bahawa pencapaiannya sebagai menteri pada tahun lalu adalah antara yang tercorot.

Malah beliau berkata, petunjuk prestasi utama (KPI) dirinya sebagai menteri pada tahun lalu sebenarnya juga hampir 100 peratus atau lebih 90 peratus.

"Risau? Mengapa pula saya perlu risau? Tidak saya tidak risau. Ada perlu tanya (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) jika ada rombakan nanti.

"Tahun lepas, KPI saya hampir 100 peratus. Saya pun tidak tahu adakah itu baik atau sebaliknya kepada kamu semua. Mengapa saya perlu risau? Tidak. Saya tidak risau.

"Kamu semua perlu tahu, kalau kamu mahu saya bekerja, saya akan bekerja. Jika kamu tidak mahu saya bekerja, ‘anytime’ sahaja. Jadi mengapa pula saya perlu risau," katanya ketika ditanya mengenai ura-ura akan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pelekat Rasmi Visit Malaysia 2020 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Pelancongan Malaysia (Matta), Datuk Tan Kok Liang.

Semalam, Dr Maszlee mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa hari ini.

Maszlee yang dipetik berkata, beliau mengambil keputusan itu selepas mendapat nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertemuan semalam.

Peletakan jawatan itu turut meyakinkan umum bahawa rombakan Kabinet akan berlaku malah terdapat ura-ura mengatakan beberapa nama menteri serta timbalan sudah dikenal pasti tersenarai dalam rombakan.