Rombakan Barisan Exco Kerajaan Negeri bakal dimuktamad akhir minggu ini

Rombakan Barisan Exco Kerajaan Negeri bakal dimuktamad akhir minggu ini
Dr Sahruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene pada Ahad lepas.
ISKANDAR PUTERI: Rombakan barisan Exco kerajaan negeri Johor dijangka dimuktamadkan menjelang akhir minggu ini, kata Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata penyusunan barisan Exco masih diperincikan lagi.

"Seperti yang saya cakap, saya akan memilih Exco yang saya selesa bekerja dengan mereka dan Insya-Allah kita akan lihat senarai baru nama-nama itu. Nanti saya umumkan beberapa hari lagi sebelum minggu hadapan," katanya kepada pemberita di Kota Iskandar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya status rombakan barisan Exco kini serta sama ada akan terdapat pengguguran atau nama baharu dalam senarai berkenaan.

Dr Sahruddin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu turut mengesahkan tiada tambahan portfolio kepada 11 portfolio termasuk yang dipegang menteri besar kini.


Semalam, sebuah portal melaporkan barisan Exco kerajaan negeri Johor yang baharu akan menyaksikan pengguguran dua Exco lama iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan, Mazlan Bujang dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi, Tan Hong Pin.

Mazlan merupakan ADUN Puteriwangsa daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Tan merupakan ADUN Skudai daripada Parti DAP.

Dr Sahruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene pada Ahad lepas, menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan 8 April lalu.

Sehari sebelum itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menetapkan syarat supaya menteri besar Johor yang baharu membuat rombakan kepada barisan Exco kerajaan negeri.

Tag: ADUN, Exco, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Osman Sapian, Sultan Johor, Istana Bukit Serene, Johor, Menteri Besar, Astro Awani, Sahruddin Jamal


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.