Keputusan untuk merombak Jemaah Menteri adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, terpulang kepada perdana menteri untuk menentukan siapa yang kekal atau disingkirkan daripada Kabinet.

Beliau yang juga Presiden Parti Amanah Negara berkata, selagi mana perkara itu belum dimuktamadkan, beliau akan terus menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya untuk mengemudi kementerian pertahanan.

“Itu serah kepada perdana menteri, itu hak beliau, dia hendak bubar, rombak (Kabinet) bila masa hak beliau, kita serah pada dia. Bukan setuju tidak setuju, itu hak perdana Menteri,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Konvensyen Parti Amanah Negara ke-4 di Pulau Pinang pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai bayangan rombakan Kabinet yang dijangka akan dilakukan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa turut senada dengan Mohamad yang percaya perdana menteri akan membuat keputusan mengenai rombakan jemaah menteri dengan sebaiknya.

“Itu biasa, rombakan, setahun sudah spekulasi itu. Hak kami langsung tidak ambil, apa itu hak dia, sudah tentulah dia akan berunding dengan ketua parti.

"Macam saya kata, saya Abang Mohamad, duduk dalam (Kabinet) bukan kami henfdak duduk tetapi kami diberi mandat perdana menteri. Diambil atas dia punya penilaian, terserah kepada keputusan dia (perdana menteri)," katanya ketika ditemui di majlis yang sama.

Mujahid adalah antara enam menteri disebut-sebut pemerhati politik akan terbabit dalam rombakan Kabinet yang dikatakan akan dibuat dalam masa terdekat.

Nama mereka dikatakan tersenarai ekoran beberapa isu berkaitan kementerian masing-masing yang menimbulkan reaksi kurang senang dalam kalangan rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lalu.

Rabu lepas, Dr Mahathir membayangkan akan melakukan rombakan Kabinet sebelum penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun depan.

Beliau menjelaskan, rombakan Jemaah Menteri itu perlu dilakukan susulan kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, baru-baru ini.