Sebuah kedai emas mengalami kerugian lebih RM700,000 selepas disamun sekumpulan lelaki dalam kejadian di pasaraya Tesco Bandar Seri Putara, Bangi, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendent Mohd Sabri Abdullah berkata, kumpulan lelaki bertopi keledar mengambil masa kurang lima minit untuk melarikan barang kemas

"Siasatan awal mendapati di tempat kejadian mendapati suspek menggunakan tukul besi dan objek menyerupai pistol untuk melakukan samun.

"Semasa kejadian tiga pekerja sedang bertugas dan terdapat enam pelanggan termasuk seorang kanak-kanak ketika kejadian bagaimanapun mereka semua tidak dicederakan.

"Seorang pengawal keselamatan yang tidak bersenjata juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana suspek mengacukan objek menyerupai pistol kepadanya," katanya dalam kenyataan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat ASP Redzuan Mat Salleh di talian 019-241 4100.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.