Majoriti ahli Dewan Rakyat hari ini bersetuju memilih Datuk Seri Ronald Kiandee (BN-Beluran) dan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi Parlimen ke-14.

Pengumuman itu dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff sewaktu mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Pemilihan kedua-dua mereka sah selepas majoriti ahli Dewan Rakyat bersetuju dengan usul yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong semasa persidangan.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat bersetuju dengan pelantikan Jawatankuasa Pemilih, dipengerusikan Mohamad Ariff, serta dianggotai enam anggota jawatankuasa.

Mereka terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ignatius Darell Leiking, Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai dan ketua pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk).

Dalam pada itu, Mohamad Ariff turut menjelaskan mengenai surat daripada Ketua Pembangkang yang menolak pelantikannya sebagai ahli jawatankuasa itu.

Menurutnya, dalam surat itu, Ahmad Zahid telah mengemukakan nama Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) selaku Ketua Whip BN untuk dilantik menganggotai jawatankuasa berkenaan.

"Bagaimanapun, tiada notis atau usul yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Bagan Datuk bagi tujuan tersebut.

"Oleh yang demikian, ia tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat 26, 27 dan 30 (3) yang menghendaki satu usul dikemukakan bersama notis.

"Justeru, saya tidak membenarkan ia dibangkitkan dalam Dewan ini," jelas Speaker lagi.