Bekas isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan menerima suapan bernilai RM5 juta sebagai upah kerana membantu mendapatkan projek solar bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion.

Beliau bagaimanapun kelihatan tenang ketika pengakuan dan mohon dibicarakan atas pertuduhan itu selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi di sini hari ini.

Rosmah, 68, didakwa menerima suapan itu daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Datuk Rizal Mansor, 45, sebagai upah kerana membantu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur pada 20 Disember 2016.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama, jika sabit kesalahan beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu menjadikan keseluruhan pertuduhan yang dihadapi Rosmah berjumlah 20 pertuduhan.

12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, lima pertuduhan gagal isytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar menawarkan wang jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius serta pertuduhan memperuntukkan hukuman yang tinggi selain Rosmah ketika kejadian merupakan isteri kepada bekas seorang Perdana Menteri.

Beliau turut menyatakan pertuduhan baharu ini akan dipohon untuk dibicarakan bersama namun jaminan berasingan perlu diberikan bagi mengelak kesulitan sekiranya ketiga-tiga kes itu tidak dapat dibicarakan bersama.

"Pihak pendakwa juga akan memohon memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk didengar dan dibicarakan bersama dengan dua kes Rosmah terdahulu," katanya.

Peguam bela Datuk Akberdin Abdul Kader memohon mahkamah mengguna pakai semula wang jaminan RM1 juta dalam dua pertuduhan yang dikenakan ke atas Rosmah berkaitan kes yang sama.

"Jumlah tawaran RM1 juta adalah tinggi, tertuduh telah dituduh sebelum ini dan beliau adalah seorang suri rumah sepenuh masa serta tidak pernah gagal hadir ke mahkamah," kata Akberdin.

Azura membenarkan Rosmah diikat jamin mengguna pakai jaminan terdahulu dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mei 2019 untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan diketuai Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, Mohd Farizul Hassan Bakri dan Poh Yih Tinn.

Manakala pembelaan diwakili peguam Datuk Jagjit Singh, Datuk Akberdin Abdul Kader, Ummi Kartini Abd Latiff, Azrul Zulkifli Stork, Iskandar Shah Ibrahim, Noorhajran Mohd Noor.

Sebelum itu, Rosmah tiba pada 8.50 pagi ditemani anak lelakinya Mohd Ashman Mohd Najib serta penjamin dan pegawainya, beliau sempat tersenyum ke arah pengamal media ketika diiringi menuju ke Mahkamah Sesyen.