Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datin Seri Rosmah Mansor dilihat terdiam apabila Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin menawarkan kepadanya 10 peratus daripada RM1.25 bilion nilai projek solar hibrid bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek berkenaan.

Rakan perniagaan Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah, 41, berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Datuk Akberdin Abdul Kader pada hari ke-17 perbicaraan kes Rosmah, 68, berhubung projek tenaga solar itu.

Akberdin: Adakah kamu bersetuju bahawa dari 'body language' atau raut wajah Rosmah, beliau terkejut apabila ditawarkan 10 peratus (daripada RM1.25 bilion nilai pojek solar) oleh Saidi pada hari pertama pertemuan di rumahnya di Langgak Duta sekitar bulan Januari atau Februari 2016?

Rayyan Radzwill: Beliau (Rosmah) diam sebentar, terkejut atau tidak saya tidak tahu.

Akberdin: Arahan daripada anak guam saya, beliau terkejut bila mendapat tawaran itu dan saksi pendakwaan ke-16 itu menjawab, 'it's depends for people to interpret.. for me, saya rasa beliau (Rosmah) terdiam.

Rayyan Radzwill yang juga pengarah syarikat Nanocarb Technology Sdn Bhd turut bersetuju dengan cadangan Akberdin bahawa isteri bekas perdana menteri itu tidak memberi sebarang jawapan atau menyatakan persetujuan berhubung tawaran berkenaan dan tidak membuat rundingan membabitkan perkara itu.

Disoal Akberdin, sama ada Saidi memaklumkan kepada Datuk Rizal Mansor (pembantu Rosmah ketika itu) bahawa beliau berhasrat membuat tawaran sumbangan politik melalui Rosmah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Rayyan Radzwill, menjawab: “Tidak setuju”.

“Saidi hanya membuat tawaran duit bagi mendapatkan projek solar hibrid," kata saksi itu yang turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa Rizal yang memberitahu Saidi supaya tawarkan sebagai sumbangan politik.

Akberdin: Setuju bahawa sumbangan politik datang daripada mulut Rizal dan Rayyan Radzwill menjawab, ya.

Menurut saksi itu, Rizal memaklumkan kepadanya dan Saidi kononnya Rosmah menaikkan bayaran daripada 10 peratus kepada 15 peratus, nilai keseluruhan projek solar berkenaan.

Bagaimanapun, Rayyan Radzwill bersetuju dengan cadangan Akberdin bahawa kenaikan 15 peratus tidak pernah keluar daripada mulut Rosmah dan anak guamnya itu tidak pernah mengadakan pertemuan dengan saksi berkenaan dan Saidi.

Akberdin: Adakah kamu setuju, 15 peratus itu keluar dari mulut Rizal, dan Rayyan Radzwill menjawab, betul.

Isteri bekas perdana menteri itu berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada KPM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-- BERNAMA