"Saya ajar anak solat dan mengaji, tetapi dia tak faham," jelas suami penyanyi popular, Ziana Zain, Armin Zaharin.

Menurutnya, dia bertanggungjawab untuk mengajar anak-anaknya.

"Saya tak dera anak!

"Saya mohon jaminan rendah dibenarkan," katanya.

Terdahulu, Armin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan dengan sengaja menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ke atas anaknya di sebuah rumah di Denai Alam, dekat sini, jam 4 pagi pada 25 Februari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, bekas Pramugara Kanan Malaysia Airlines itu berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Majistret, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 4 April untuk sebutan semula.

Armin, 53 tahun, ditangkap pada 2 Mac lalu selepas Ziana Zain membuat laporan polis pada 27 Februari lalu.

Ziana Zain atau nama sebenarnya, Siti Roziana yang popular dengan lagu Madah Berhelah dan Putus Terpaksa itu bernikah dengan Armin pada 9 Mei 1998.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.