Penduduk di sekitar Lembah Bertam tidak perlu risau mengenai risiko limpahan air sekiranya berlaku bencana banjir di kawasan itu walaupun Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembah Bertam hanya akan siap sepenuhnya menjelang Mei tahun hadapan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata projek tebatan banjir itu kini telah 55 peratus siap namun strukturnya sudah kukuh untuk menampung sebarang kejadian limpahan air dari Tasik Ringlet.

Katanya, projek tersebut dijangka dapat menampung kadar ulangan banjir selama 100 tahun di samping melindungi nyawa seramai 3,000 penduduk dan menjamin kos kerugian harta benda musnah sebanyak RM20,000 berikutan insiden banjir.

Jelasnya, pihaknya mengalami beberapa komplikasi untuk mempercepatkan kerja-kerja pendalaman dan pelebaran sungai yang sepatutnya siap pada November ini berikutan masalah pengambilan hak milik tanah individu dan bongkah batu besar di bawah tanah.

“Buat masa ini, ia telah siap sebanyak 55 peratus dan kawasan tadahan air di sepanjang tebatan banjir itu kini dapat menampung limpahan air sebanyak 220 meter kubik berbanding 5 meter kubik sahaja sebelum ini.

“Justeru, penduduk sekitar terutamanya kawasan sekolah dan kawasan penempatan, serta kawasan pertanian di sektiar Lembah Bertam tidak perlu berasa risau kerana kini yang tinggal adalah tampalan dinding di sepanjang tebatan sepanjang 1.9 kilometer tersebut,“ katanya.