Pengumuman pelanjutan perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dari 14 hingga 30 Julai mengundang persoalan mengenai perancangan jangka panjang untuk menyelesaikan isu keselamatan di kawasan tersebut.

Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Zaini Othman, berkata dasar ESSZone mempunyi nilai produktif dalam menangani dan mengawal selia fenomena ancaman yang tidak diduga.

"Namun jika diteliti dari perspektif kelangsungan ekonomi masyarakat setempat, khususnya kelompok nelayan dan golongan yang bergantung dengan sumber maritim, dasar tersebut dilihat berkonflik dengan aktiviti ekonomi mereka.

"Justeru sama ada 'curfew' itu produktif atau tidak perlukan kepada satu titik keseimbangan antara kepentingan keselamatan dengan kelangsungan ekonomi kelompok masyarakat yang terkesan secara langsung dari arahan tersebut.

"Bagaimana untuk mencari titik keseimbangan itu? Ini satu persoalan yang sangat besar sifat dan cabarannya. Saya fikir metodologi 'RTC at Sea' sangat sesuai untuk mencari titik keseimbangan tersebut," jelasnya kepada Astro AWANI.

'RTC at Sea' atau Rural Transformation Centre at Sea yang dimaksudkan adalah pembinaan pusat khidmat dan ekonomi luar bandar yang dibina di kawasan perairan bagi memastikan ekonomi penduduk setempat boleh dibangunkan walaupun terpaksa menghadapi sekatan.

"Ia merupakan satu pendekatan yang bersifat bersepadu dalam menangani persoalan dan kedaulatan negara, dalam masa sama tidak menjejaskan kelangsungan aktiviti ekonomi masyarakat setempat," katanya.

Pesuruhjaya Sabah, Datuk Ramli Din pada 14 Julai lalu mengumumkan perintah berkurung di ESSZone dilanjutkan sehingga 30 Julai. Jelasnya, dengan pelanjutan itu, mereka yang tinggal di kawasan tersebut tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan antara 6 petang hingga 6 pagi sepanjang tempoh berkenaan.

ESSZone merupakan kawasan keselamatan yang meliputi 1,400 kawasan pantai timur Sabah bermula dari Kudat hingga ke Tawau.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyididn Yassin pada Mei lalu berkata, ESSZone akan diteruskan kerana kawalan keselamatan di daerah tersebut dari ancaman luar amat penting dan ia masih dirasakan tidak selamat.