Adalah menjadi satu kerugian jika pengundi yang tinggal luar dari kawasan Parlimen Tanjung Piai tidak pulang menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada pilihan raya kecil kawasan itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, sekiranya mereka tidak pulang, ada kemungkinan rakyat Tanjung Piai akan mendapat wakil rakyat yang ‘salah’, dan segala permasalahan tidak dapat diselesaikan.

“Kalau pengundi luar tak balik itu satu kerugian, kerana bilangan dia agak (mencecah) ribuan, setengahnya bekerja di Johor Bahru, Singapura, Kuala Lumpur, dan juga Pontian.

"Jadi kalau mereka tidak pulang, rugilah mereka kerana ini adalah hak mereka untuk mengundi, nanti akan balik ke kampung. Sekiranya (terpilih) wakil salah, maka masalah ibu bapa yang tinggal di sini tak dapat diselesaikan.

“Penting bagi mereka balik mengundi. Dan untuk tujuan itu, bagi mereka yang ada di Singapura, Ketua Pengarah Imgiresen akan mempermudahkan laluan sebab tahu biasanya mereka tersekat di situ, ada kesesakan. Itu langkah-langkah yang akan membantu mereka dari Singapura untuk ke Pontian,” katanya kepada sidang media selepas beramah mesra dengan warga Polis Diraja Malaysia di Balai Polis Pontian, di sini hari ini.

Memasuki minggu kedua tempoh berkempen, Muhyiddin berkata, secara umumnya ada kawasan yang memberikan maklum balas yang baik.

Namun, beliau berkata lanjut, Pakatan Harapan masih perlu bekerja keras bagi memastikan mereka mampu mempertahankan kerusi Parlimen itu.