Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengarahkan rumah asuhan kanak-kanak yang menjadi lokasi kejadian dakwaan rogol bawah umur ditutup.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menegaskan, tindakan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu demi memastikan keselamatan mangsa termasuk lapan kanak-kanak lain yang turut diasuh di rumah tersebut.
“Polis sedang menyiasat dan taska itu tak berdaftar selain menjaga lapan kanak-kanak.
“Sekarang ini, pegawai JKM pergi melihat dan mencari bagaimana untuk menjaga kepentingan kanak-kanak ini termasuk mangsa.
“Kita mesti melihat secara menyeluruh dan kita dalam proses untuk menutup taska tu,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.
Justeru, beliau menegaskan supaya ibu bapa meningkatkan pemantauan penggunaan gajet dan internet.
“Dia (pelaku) tengok kandungan berunsur lucah. Jadi kalau boleh, kalau ada kawalan ibu bapa, kalau nak bagi telefon pintar, janganlah tanpa ada kawalan ibu bapa,” katanya.
Pada Isnin malam, polis menahan seorang murid Tahun 6 di rumahnya di Taman Sri Wangsa, Batu Gajah, kerana dipercayai merogol seorang kanak-kanak berusia empat tahun.

BACA: Bahana tonton video, murid darjah 6 ditahan rogol budak 4 tahun
Suspek dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu kerana terangsang selepas menonton video di telefon bimbit.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata suspek yang merupakan anak sulung kepada pengasuh mangsa ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan polis.
Menurutnya, kira-kira jam 10.30 malam pada 27 Jun lalu, mangsa mengadu sakit di bahagian kemaluan dan memberitahu bahawa anak pengasuh yang dikenali sebagai "abang" ada menyentuh kemaluannya.