Seramai 105 penghuni rumah panjang iaitu RH Bidin Kampung Sungai Seduan, Bukud di sini hilang tempat tinggal selepas rumah panjang mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, kebakaran berpunca dari bahagian dapur salah sebuah pintu rumah panjang berkenaan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bahagian Mukah, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.16 pagi dan segera menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah.

Ketika tiba di lokasi kejadian, kebakaran telah memusnahkan 90 peratus rumah panjang itu dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan," katanya kepada Astro AWANI di sini.

Tambah jurucakap itu, saksi kejadian memaklumkan kebakaran melibatkan bahagian dapur salah sebuah pintu dari 13 buah pintu rumah panjang tersebut.

Rumah Panajng Bidin Kampung Sungai Seduan Bukud musnah dalam kebakaran pagi ini.