Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Rumah pusaka hangus dijilat api, Firdaus terkilan tak sempat selamatkan apa-apa

Rumah pusaka hangus dijilat api, Firdaus terkilan tak sempat selamatkan apa-apa
Operasi disertai 11 anggota dan tiga jentera dari BBP Jitra, dibantu empat Pasukan Bomba Sukarela Bukit Pinang, Tunjang, Pokok Sena dan Seberang Nyonya. - Foto JBPM
JITRA: "Saya dengar jiran jerit api.. api.. terus saya lari keluar dari rumah, tidak sempat hendak selamatkan apa barang pun sebab api merebak dengan cepat."

Demikian jelas Firdaus Md Saad, 36 tahun, mangsa kejadian kebakaran yang memusnahkan rumah pusaka didiaminya sekeluarga di Kampung Lubuk Batu, Jalan Wang Tepus, dekat sini malam tadi.

Katanya, dia tergamam tidak sempat berbuat apa-apa selain hanya melihat rumahnya dijilat api.

Bagaimanapun, mujur ketika kejadian isterinya berada di Kuala Lumpur manakala ibu bapanya pergi ke pondok di Wang Tepus.


Firdaus terkilan kerana semua dokumen penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan wang simpanan untuk kegunaan harian juga hangus terbakar.
Sementara itu, menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima panggilan jam 7.50 malam berkaitan kejadian kebakaran itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin tiba di lokasi pada jam 8.05 malam.

Operasi disertai 11 anggota dan tiga jentera dari BBP Jitra dan dibantu empat Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Pinang, Tunjang, Pokok Sena dan Seberang Nyonya.



Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah Kelas B dua tingkat.

Katanya, struktur rumah yang diperbuat daripada kayu dan papan menyebabkan api merebak dengan cepat dan membakar 90 peratus rumah.

Jelasnya, bomba mengambil masa 15 minit untuk memadam kebakaran.

Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.