Rumah Reptilia yang bakal dibuka kepada umum pada Jun 2019 akan menjadi tarikan baharu di Zoo Negara sekaligus meningkatkan pendapatan pusat pemeliharaan tersebut.

Pengarah Zoologi, Hospital Veterinar dan Pusat Konservasi Panda Gergasi, Dr Mat Naim Ramli berkata ia merupakan inisiatif Zoo Negara dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung dan dijangka mampu menarik lebih 30,000 pengunjung sebulan.

“Mengikut perancangan, Rumah Reptilia yang berkeluasan lebih 0.404 hektar itu yang kini sudah 94 peratus siap akan menempatkan 36 spesies reptilia, pertambahan daripada 18 spesimen yang sedia ada sebelum ini.

“Apabila Rumah Reptilia itu siap nanti, ia akan menjadi pusat konservasi reptilia paling canggih di dunia dari aspek keluasan, reka bentuk dan jumlah spesimen. Ini dapat membantu meningkatkan pendapatan Zoo Negara yang sekarang adalah RM1.2 juta sebulan yang bergantung kepada musim kehadiran pengunjung,” kata Mat Naim pada sidang media Pelancaran Fiesta 55 Tahun Zoo Negara Malaysia.

Turut hadir adalah Timbalan Presiden MZS, Rosly@ Rahmat Ahmat Lana, Pengerusi Kebajikan Haiwan dan Khidmat Pelanggan, Hafidz Idris dan Pengerusi Pemasaran dan Perhubungan Awam Zoo Negara, Zarina Idris.

Tambah beliau, dalam usaha menambah spesies haiwan untuk dipamerkan di pusat tersebut, pihaknya turut mengadakan kerjasama dengan zoo dari negara luar seperti Singapura, Vietnam dan China.

"Walaupun kos penyelengaraan kita mencecah RM1 juta sebulan, kita masih mampu menjaga kebajikan haiwan-haiwan di zoo ini kerana kaedah perolehan spesimen yang dilakukan secara pertukaran haiwan dan pinjaman jangka masa pendek atau panjang dengan zoo lain.

"Dalam tempoh terdekat ini, kita merancang untuk mendapatkan biawak komodo dari Indonesia dan untuk ini, kita mengharapkan bantuan daripada kerajaan kedua-dua negara," tambahnya.