Seekor rusa liar seberat 80 kilogram cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan di susur keluar Tambun, Lebuh Raya Utara Selatan di sini pada Khamis malam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu sekitar pukul 10.21 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun, Pengarahnya Datuk Yahaya Madis menjelaskan, pihaknya masih tidak dapat mengenal pasti kenderaan yang melanggar rusa itu kerana tiada saksi kejadian.

"Ketika kami tiba di tempat kejadian, rusa itu berada dalam keadaan lemah dan tidak mampu bergerak selepas dipercayai patah kaki kanan hadapan selain cedera di bahagian kepala dan badan.

"Anggota kami bertindak memberinya minuman sebelum membawa haiwan liar itu ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dalam usaha menyelamatkannya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Rusa ini merupakan haiwan liar yang dilindungi dan mungkin akan mati sekiranya bantuan kecemasan segera tidak diberikan. Astro AWANI

Yahaya berkata, pihaknya bimbang rusa yang dilindungi itu ditemui pihak tidak bertanggungjawab sekiranya tidak dibawa ke balai.

"Kami kemudiannya menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Perhilitan Negeri, Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, rusa liar jenis Sambar jantan berusia dua tahun itu dipercayai tersesat sehingga masuk ke kawasan bandar.

“Selepas dihubungi pihak bomba, saya bergegas ke BBP Ipoh untuk melihat sendiri haiwan tersebut sebelum bersama anggota bomba menghantarnya ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai bagi merawatnya.

“Doktor pakar yang merawatnya memberitahu ia kini berada dalam keadaan stabil,” ujarnya ketika dihubungi.

Menurutnya, Perhilitan menolak kemungkinan haiwan itu mungkin dibela berdasarkan pemerhatian pihaknya.

“Siasatan lanjut mengenai kejadian ini sedang dijalankan kerana ia merupakan hidupan liar yang dilindungi mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

“Kami amat berterimakasih kepada orang awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana bertindak pantas menyelamatkan nyawa seekor haiwan liar yang dilindungi yang mungkin mati sekiranya bantuan kecemasan segera tidak diberikan,” katanya.