Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja menggugat keamanan negara.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk cubaan melaga dan mewujudkan sentimen perkauman di negara ini.

“Bagi pihak Kementerian Dalam Negeri, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja mengganggu-gugat keamanan dan ketenteraman awam, terutamanya dengan mengapi-apikan sentimen perkauman.

“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil oleh pihak berkuasa demi mempertahankan perpaduan kaum, keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya semasa sesi dewan rakyat mengenai insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield.


Kata beliau, insiden pergaduhan dan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Siefield, tiada kaitan langsung dengan isu perkauman.

Ia adalah satu kejadian jenayah yang berpunca daripada pertikaian di antara syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd dan Jawatankuasa Kuil berhubung status pemilikan tanah tapak kuil.

Siasatan polis menjurus kepada isu perpindahan kuil yang menjadi punca rusuhan.

Pihak polis juga telah menangkap 30 individu yang terdiri daripada 24 orang Melayu, dua India Muslim, tiga orang India dan seorang Cina.

Semua mereka telah direman dengan tempoh reman yang berlainan, sementara lima orang individu yang baru ditangkap semalam direman pada hari ini.

“Polis Diraja Malay telah mengenalpasti beberapa individu yang memainkan peranan dalam kejadian ini dan mereka akan dipanggil untuk menjalani proses siasatan selanjutnya.

“Motif kejadian ini telah pun dikenal pasti dan kertas siasatan masih dalam proses untuk dilengkapkan sepenuhnya,” katanya lagi.