Satu rang undang-undang berkonsepkan 'Good Samaritan Law' akan dibentangkan di Parlimen bagi melindungi penyumbang dan penerima program FoodBank, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dijangka membentangkan rang undang-undang itu pada akhir tahun ini.

"Hotel-hotel enggan mendermakan makanan mereka kerana takut makanan yang diberi itu terjadi apa-apa kepada penerima. Jadi rang undang-undang itu penting untuk melindungi mereka," katanya dalam ucapan perasmian Yayasan Food Bank Malaysia dan Malam Apresiasi Bersama Penyumbang di sini pada Jumaat.

Beliau berkata bagi meluaskan program Foodbank Malaysia, Yayasan FoodBank Malaysia telah diperbadankan pada 7 Jan lepas.

"Yayasan ini akan menyelaraskan perkembangan dan perlaksanaan program ini di seluruh negara," katanya.

Wan Azizah berkata, sejak program Foodbank Malaysia dilancarkan pada 22 Dis tahun lepas, sebanyak 430 cawangan pasar raya telah bersetuju menyertai program ini.

"Sehingga Ogos lepas, sebanyak 311,189 isi rumah telah mendapat manfaat daripada program ini," katanya.

Beliau berkata awal tahun ini, Foodbank Siswa juga telah dilancarkan berikutan keputusan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi membantu siswazah di universiti awam.

Wan Azizah berkata melalui perjumpaan dengan 20 universiti awam, didapati 70 hingga 80 peratus pelajar universiti awam adalah daripada keluarga isi rumah berpendapatan rendah (B40).

"Sehingga hari ini, 13 universiti awam telah menyertai program "Foodbank Siswa" yang melibatkan 3,820 pelajar," katanya.

Beliau berkata di bawah program ini, pantri istimewa disediakan di setiap universiti bagi menyimpan dan mengagihkan makanan kering kepada pelajar universiti yang memerlukan.

"Untuk universiti awam yang mempunyai kemudahan dapur, lebihan makanan mentah boleh dimasak dan diedarkan kepada kumpulan pelajar sasar," katanya.

Turut hadir pada majlis malam ini termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang.

-- BERNAMA